Assalamualaikum,

Tujuan blog ini diwujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dengan anda semua selain ia adalah untuk menambahkan pengetahuan diri saya.. Kalau ada sebarang cadangan sila pm saya..Terima Kasih kerana sudi membaca blog ini.


Thursday, October 14, 2010

Kenakalan Remaja Daripada Perspektif Islam

    Kenakalan remaja (Juvenile Delinquence) adalah merujuk kepada perbuatan dan aktiviti remaja yang berlawanan dengan norma-norma masyarakat, undang-undang negara dan agama, seperti mencuri, merompak, berzina, merogol, membunuh, menagih dadah, menderhaka kepada kedua ibu bapa dan seumpamanya. Perbuatan remaja dikatakan nakal kerana remaja dianggap belum matang, belum dewasa dan perbuatan jenayah yang mereka lakukan tidak dikenakan hukuman berat. Hukuman yang dijatuhkan kepada mereka ialah remaja itu ditempatkan di pusat-pusat pemulihan, akhlak dan diberi pendidikan khas.

   Ahli-ahli sains sosial berbeza-beza pendapat tentanghad umur remaja. Ada yang mengatakan alam remaja di antara 10-18 tahun. Menurut Islam, kanak-kanak mula dapat membezakan perkara yang baik dan buruk setelah mencapai mumaiyiz iaitu berumur 7 tahun. Pada ketika inilah ibu bapa atau penjaganya patut melatih anak mengerjakan ibadat yang wajib. Apabila anak mencapai umur baligh, mereka wajib melaksanakan semua suruhan agama dan menjauhkan segala larangannya. Lingkungan baligh ialah mencapai umur 15 tahun atau kanak-kanak lelaki sudah bermimpi bersetubuh dan kanak-kanak perempuan pula telah didatangi haid dalam tempoh umur antara 9 hingga 15 tahun.



                                               TEORI TABIAT MANUSIA

     Pakar Psikologi kaunseling membuat pelbagai teori bagi menjelaskan pembentukan tabiat manusia. Corey (1986) menyatakan beberapa teori penting yang menjelaskan tentang tabiat itu ialah :-

Pertama : Teori Psikoanalisis yang diasaskan oleh Frued. Teori ini menyatakan tabiat manusia pada asalnya jahat kerana dipengaruhi oleh unsur-unsur rangsangan seksual, kuasa agresif, dan tidak rasional yang wujud dalam diri manusia bagi tujuan menjaga survival perkembangan hidupnya. Unsur-unsur itu bertindak di dalam diri manusia secara tidak sedar. Kombinasi unsur-unsur itu dan konflik hidup semasa kecil yang tidak dapat diselesaikan pada masa itu akan menjadi punca dan penentu tabiat anak pada masa hadapan.

Kedua : Teori Analisis Transaksi. Teori ini menerangkan tabiat manusia terbentuk hasil daripada skrip hidup yang ditentukan oleh ibu bapa. Semasa kecil anak akan merakamkan secara langsung apa sahaja percakapan dan perbuatan yang ditayangkan oleh ibu bapa kepada mereka. Konflik akan berlaku apabila anak itu cuba menilai semula skrip hidup yang baru hasil daripada perkembangan emosi fikirannya dan pengaruh persekitaran.

Ketiga : Teori Behaviorisma. Menurut teori ini, tabiat dan tingkah laku manusia terbentuk daripada proses pembelajaran dan evolusi persekitaran. Tabiat manusia menjadi masalah apabila mereka menerima pembelajaran dan persekitaran yang salah, walaupun mereka sendiri yang mencipta  sistem pembelajaran atau membentuk persekitaran.

Keempat : Teori Pemusatan Klien. Teori ini membuat andaian bahawa tabiat manusia semula jadinya baik, rasional, bertanggungjawab dan berusaha mencapai kesempurnaan diri. Walau bagaimanapun, manusia juga cenderung menjadi kecewa dan bermasalah apabila keperluan mencapai kesempurnaan kendiri dihalang seperti gagal mendapat kasih sayang, keselamatan dan seumpamanya.


     Kita dapati bahawa pandangan teori kaunseling barat tentang tabiat manusia adalah sebahagian daripada pandangan Islam. mereka mengkaji tabiat manusia dari aspek luaran sahaja dengan merujuk kepada faktor persekitaran, proses pembahagian, kemahiran keibubapaan dan keperluan jasmani. Keadaan ini berlaku kerana mereka tidak dibimbingoleh al-quran dan kajian itu dibuat berdasarkan latarbelakang kehidupan masyarakat di barat.

     Sebagai contoh, walaupun pendapat Frued dikritik hebat tentang tabiat manusia, tetapi teorinya adalah berkaitan dengan peranan nafsu Ammarah yang mewakili unsur kehaiwanan atau keperluan jasmani manusia. Dari segi pendekatan Islam, Muhammad al-Jiasi (1976) menyatakan : terdapat 4 peringkat nafsu yang mempengaruhi manusia iaitu :-

a) Nafsu Ammarah : Nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan. Bagi mereka yang berada di peringkat ini itidak merasakan perbezaan antara yang baik dan jahat. Apabila seseorang itu melakukan kejahatan, ia tidak menyesal dan sebaliknya, juga apabila melakukan kebaikan ia tidak gembira.

b) Nafsu Lawwamah : Nafsu yang mula menunjukkan kelemahan diri, menilai tabiat masa lampau dan sedia keluar untuk memulakan kehidupan yang positif.

c) Nafsu Mulhamah : Nafsu yang sudah menerima kebenaran dan keinsafan serta merasa keseronokan membuat kebaikan dan benci kepada kejahatan.

d) Nafsu Mutmainnah : Nafsu yang mencapai kedamaian dan kebahagian. Nafsu ini berusaha terus untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan dalam dirinya.


      Pada prinsipnya, nafsu itu adalah mewakili dua keperluan naluri manusia iaitu naluri kehaiwanan (jasmani) dan rohani (wahyu). kadangkala berlaku pertarungan sengit antara dua naluri itu untuk mempengaruhi hati manusia. Seseorang ahli falsafah akhlak Islam, Ibnu Maskawaih menyatakan pertembungan nafsu dalam diri manusia menghasilkan tiga peringkat tabiat manusia.

i) Manusia yang baik tabiatnya. Manusia yang baik tabiatnya tidak akan berubah menjadi manusia jahat.

ii) Manusia yang jahat tabiatnya. Manusia dalam kategori ini tidak akan menjadi baik kerana memang pembawaannya sudah jahat.

iii) Manusia yang berada dipertengahan tabiatnya. Golongan ini boleh berubah menjadi baik atau jahat bergantung kepada pendidikan dan persekitaran yang diterimanya.


 Rujukan : Kenakalan Remaja Daripada Perspektif Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

No comments:

Post a Comment