Assalamualaikum,

Tujuan blog ini diwujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dengan anda semua selain ia adalah untuk menambahkan pengetahuan diri saya.. Kalau ada sebarang cadangan sila pm saya..Terima Kasih kerana sudi membaca blog ini.


Saturday, June 8, 2013

••► "Tanda - Tanda Orang Beriman" - Oleh : Ustaz Kazim Elias.

Daripada Siti Aisyah, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, "Di antara tanda-tanda kesempurnaan iman seseorang Mukmin, ada pula dua benda.Yang pertama adalah yang paling baik akhlaknya dan yang lembut dengan ahlinya".

Setiap sesuatu perkara dan kejadian mempunyai tanda yang tersendiri. Ya, tanda. Cuba kita perhatikan, buah durian apabila hampir tiba musimnya, pokoknya mengeluarkan bau yang wangi. Bagi mereka yang "pakar" mengenai raja buah itu akan mengetahui bahawa itu tanda durian akan berbuah.

Begitu juga dengan orang yang berkahwin. Tanda-tanda orang yang akan mendirikan rumah tangga dapat dilihat pada beberapa keadaan. Pertama, cincin pertunangan di jari menandakan bahawa dia telah ditanda oleh seseorang. Begitu juga dengan inai yang melekat di jari. Itu adalah sebagai tanda bahawa hari-hari indah untuknya akan tiba tidak lama lagi.

Banyak lagi perkara menunjukkan tanda terhadap sesuatu perkara yang akan terjadi. Hujan dan ribut yang akan melanda pasti dimulai dengan awan mendung dan guruh di langit. Kanak-kanak yang akan mencapai tahap cukup usia menunjukkan tanda-tanda perubahan suara. Begitu juga dengan wanita yang mengandung, pasti memperlihatkan tanda-tanda seperti muntah-muntah walaupun yang mengalaminya adalah di sebelah lelaki.

Bagaimana pula halnya dengan orang yang beriman? Apakah tanda-tanda yang dapat kita kenali dan melihat nilai iman seseorang? Ia merupakan sebuah persoalan yang sebenarnya telah punya jawapan. Rasulullah saw telah menjawab persoalan itu dengan hadis di atas sekali gus menangkis beberapa tanggapan salah mengenai tanda-tanda kesempurnaan iman seseorang.

Ada yang bertanya, adakah tanda-tanda orang yang beriman ini terletak melalui pemakaian kopiah atau serban? Atau mungkinkah terletak pada helaian jubah yang dipakainya? Jawapannya tidak !

Jika kita ingin menyatakan bahawa kehebatan seseorang itu terletak pada serbannya, ia tidak mampu menandingi kehebatan orang Singh. Mereka lebih hebat mempertahankan serban yang dipakai termasuklah ketika menunggang motosikal. Malah ketika hujan turun, ada di antara mereka yang mengambil plastik untuk melindungi serban. Ia menandakan betapa kuatnya mereka mempertahankan serban.

Kalau kata jubah yang dipakai menjadi lambang kekuatan iman seseorang, sami Siam lagi kuat. Siang malam 24 jam, jubahnya tidak bertukar. Beg yang dipakainya pula biasa-biasa sahaja. Jika pemakaian jubah dikaitkan dengan zuhud, barangkali mereka lebih zuhud. Jadi apakah benar tanggapan bahawa tanda-tanda kesempurnaan iman seseorang itu terletak pada pakaiannya? Sudah tentu tidak ! Rasulullah saw menyatakan bahawa kesempurnaan iman seseorang itu terletak pada dua perkara. Manakala dua perkara itu berkaitan dengan kemanusiaan. Ya, kedua-dua perkara itu terletak pada akhlak dan yang berlemah kembut dengan ahlinya (keluarganya).

Namun, akhlak yang bagaimana? Lemah lembut kepada ahlinya yang bagaimana dikatakan Rasulullah saw?

 ①. Akhlak Adalah Cerminan Iman.

Tanda- tanda seorang Mukmin yang sempurna Iman terletak pada manusia yang baik akhlaknya. Itulah aras ukuran yang diletakkan oleh Rasulullah saw. Ia amat berkait dengan perangai, tatasusila dan kesopanan diri.

Akhlak menjadi prasyarat penting untuk menunjukkan kita ini manusia terbaik. Namun, apabila menyebut mengenai akhlak, ia menuntut agar kita memahami akhlak siapa dan bagaimana yang perlu kita contohi. Terdapat pelbagai ragam manusia di dunia ini dan masing-masing mempunyai akhlak tersendiri.

Kita sering menyatakan bahawa orang Jepun mempunyai akhlak yang bagus. Orang Eropah dan Arab juga mempunyai akhlak yang baik. Masing-masing mempunyai teladan akhlak yang baik. Namun, akhlak siapakah yang paling bagus dan tepat? Hmm, tidak lain dan tidak bukan adalah akhlak Rasulullah saw. Ia juga menepati tujuan mengapa Rasulullah saw diutuskan kepada umat manusia untuk menyempurnakan akhlak. Maka menjadi sesuatu yang menarik untuk kita melakukan penghijrahan budaya dan akhlak kepada akhlak yang baru. Ia menarik kita agar meninggalkan akhlak yang tidak berasaskan akhlak Rasulullah saw. Mungkin penghijrahan atau perubahan akhlak itu kelihatan kecil. Tapi percayalah, ia akan membawa manfaat yang cukup besar.


②. Akhlak Datang Dari Wajah.

Kita bertanya, akhlak itu datang dari berapa cabang? Jawapannya adalah dua. Yang pertama datangnya dari wajah. Kedua, datangnya dari tutur kata.Ya, wajah menjadi syarat pertama kepada tanda keindahan akhlak seseorang mukmin.Bahkan ia turut ditonjolkan Rasulullah saw kepada kita sebagai teladan.

Wajah Rasulullah saw digambarkan penuh berseri-seri. Dalam qasidah dan berzanji, kita sering mendengar kata-kata itu bagi menggambarkan bahawa Rasulullah saw memiliki wajah yang ceria bersinar-sinar. Malah di wajah itu juga ia turut menggambarkan keagungan dan kewibawaan Rasulullah saw sebagai KEKASIH ALLAH swt.

Cuba kita lihat dan renung wajah sendiri.Apakah ia berseri? Adakah orang berkenan melihat wajah kita? Atau mungkinkan kita juga tidak berkenan melihat wajah sendiri? Jika tidak, maknanya ada tidak kena! Sedarilah bahawa akhlak dan wajah yang berseri-seri itu datangnya dari senyuman. Oleh sebab itu, sentiasalah senyum dan kirangkan air muka yang masam mencuka kerana senyuman itu adalah sedekah.

Apa-apa pun, paling penting sekali ialah menjaga tingkah laku dan berpekerti mulia.Maksudnya, jika sekadar wajah cantik berseri dan senyum sentiasa, tetapi maruah diri tidak dijaga sebaiknya, tidak membawa erti juga.

Khusus buat insan bernama wanita yang dianugerahkan paras wajah yang menawan, hargailah pemberianNya dengan penuh rasa syukur. Terjemahkanlah seri wajah dengan nilai-nilai terpuji sebagai seorang hamba yang sentiasa mematuhi segala suruhan dan laranganNya.


No comments:

Post a Comment